http://jiboneus.com
Suggest a web story or contact us.
Recent Articles

Klasik Nasional, segalanya di sini menggamit memori. Itulah dia motto kepada rancangan radio yang memutarkan lagu-lagu lama di ruang udara negara kita. Dengan nama rancangan seperti “Malar Segar” (Evergreen) dan “Masihkah Kau Ingat” pastinya banyak kenangan lagu-lagu lama terdetik tatakala mendengar alunan lagu dan irama lama. Namun tahukah anda, selain stesen radio RTM ini ada satu lagi ruang yang banyak menerbitkan kenangan lama dan ianya tidak lain dan tidak bukan di – INTERNET

Tuan Direktor

Selain dari menjadi tempat remaja-remaja memuat naik adengan video 3gp buatan sendiri lakonan di celah pokok kelapa sawit dan tangga rumah flat, internet juga ada kebaikan untuk rakyat Malaysia. Selain dari dapat membayar saman serta cukai jalan melalui internet kini rakyat Malaysia juga dapat mengimbau kembali kenangan-kenangan lama dengan menonton atau mendengar karya-karya lama yang dimuat naik oleh warga internet Malaysia. Pada penulisan kali W//W akan melihat beberapa karya lama hasil dari titik peluh peminat yang ingin berkongsi keseronokan yang pernah dialaminya suatu ketika dulu. Oleh itu marilah kita pada hari ini mengimbau kembali kenangan lama tatakala realiti bukanlah rancangan TV dan RTM masih lagi ditonton oleh segenap masyarakat Malaysia.

Kalau anda banyak melayari youtube mencari lagu-lagu yang dinyanyikan sewaktu filem hitam putih masih lagi diterbitkan pastinya nama “mrcupan” tidak terlepas pandang. MrCupan antara pemuat naik yang paling aktif meletakkan karya-karya malar segar dalam internet melalui lamannya di YouTube, banyak juga lagu-lagu yang diputarkan di Klasik Nasional FM dimuatnaikkan oleh beliau sebagai bahan untuk dikongsi bersama. Malah kalau kita lihat pada laman youtube beliau banyak permintaan lagu-lagu lama dibuat kepadanya ala-ala DJ radio begitu. Walau apapun kami di W//W mengucapkan ribuan terima kasih kepada MrCupan atas hasil kerja beliau yang dapat kita semua berkongsi dan terhibur bersama terutama lagu-lagu melayu Malar Segar yang kian dilupakan.

Dari zaman filem hitam putih kita kembali ke zaman ketika mana Bas Mini dan Bas Sri Jaya masih lagi berlegar-legar di sekitar Kuala Lumpur. Sewaktu saya sekolah rendah memang iklan di atas, yakni iklan Wira Trojan boleh dikatakan cukup “EPIC”. Perubahan babak dari lelaki naik bas yang tiba-tiba memakai tong sampah kemudian diselamatkan oleh Wira yang mengangkat pedang berserta kilat ala-ala Lion-O dari Thunder Cats (Thunder…. Thunder… Thundercats! Hoooo) benar-benar menangkap imaginasi kanak-kanak ketika itu. Dimuat naik oleh seorang yang menggunakan nama DinPastiKacak, nama yang begitu berketerampilan lagi menyinar, banyak lagi iklan-iklan 80an dan 90an yang terpampang pada laman YouTube DinPastiKacak. Sesungguhnya Din berjaya membuatkan kami di W//W tersenyum simpul teringat zaman kanak-kanak riang maka kami yakin lagi pasti bahawa Din itu Kacak.

Pada zaman dulu-dulu adik-adik, sebelum adanya Astro dan untuk masuk internet kita kena dail 1515, rancangan TV bermula selepas jam 10 pagi. Oleh itu, sebelum pukul 10 pagi, untuk murid-murid sesi petang mereka banyak menghabiskan masa menonton rancangan TV Pendidikan di TV2. Begitulah dia kegiatan kami sewaktu sekolah rendah dahulu dan antara rancangan yang paling mendapat sambutan ialah siri Hikayat Sang Kancil terbitan Filem Negara Malaysia. Dengan jalan cerita yang penuh etika dan ayat-ayat Bahasa Kebangsaan yang memenuhi ketepatan tatabahasa siapa boleh lupa dialog rancangan ini

“Tolooonggg Tolooongg, Tolong…. Tolong… Dah 4 hari aku tak makan, tolonglah…. Berikan aku sikit makan, kasihanilah aku…”

Syabas buat TheHugnKiss kerana memuat naik satu karya yang begitu tersohor sewaktu zamanya dan dapatlah kita berkongsi berasama karya ini dengan kanak-kanak riang sekarang agar mereka dapat melihat bahawasanya dunia lebih besar dari Justin Bieber.

Maka itulah dia antara beberapa karya-karya nostalgia yang menggamit kenangan lampau. Dari lagu-lagu malar segar hinggalah ke iklan serbuk pencuci kini rakyat Malaysia dapat berkongsi banyak karya lama yang pernah mereka tonton mahupun dengar ketika mana mereka membesar dahulu. Semoga anda yang membaca penulisan ini tersenyum simpul teringat zaman anda ketika membesar dan saya hendak akhiri penulisan kali ini dengan lagu tema satu rancangan yang pernah bertakhta di hati saya suatu ketika dahulu…… Sehingga Bejumpa Lagi W//W

NAGA GABAAAAAAANNNNN……………………..

Comments...
Twitter follow
Facebook likes
Stay in touch with us. Subscribe. Follow. Like.
http://wirawanweb.com/advertise
About WirawanWeb

An online publication based in Kuala Lumpur, Malaysia that focuses on everything web and Internet related. Topic covers ranges from silly web memes to serious online privacy issues, Internet censorship and online security.

Do you have any interesting web or internet related news and story? Send us a tip at:- tips@wirawanweb.com.

More information

Navigation
Social Networks
Links

Copyright © 2011 WirawanWeb. All Rights Reserved.